Kepentingan dan langkah-langkah untuk memupuk amalan budi bahasa dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia
Budi bahasa merupakan amalan baik yang perlu ada pada
setiap orang agar segala tindakan mereka terpimpin dan tidak menyeleweng dari
norma-norma sosial yang dikehendaki
dalam masyarakat. Budi bahasa ini penting untuk melahirkan insan yang
mulia, unggul dan utopia demi merealisikan misi nasional negara ke arah Wawasan
2020. Iman al-Ghazali mengatakan, “Apabila kamu hendak mengenali wajah lihatlah
pada cermin, tetapi apabila kamu hendak mengenali diri lihatlah pada
wajah”. Kata-kata tersebut mengambarkan
betapa keperibadian dan akhlak mulia menjadi tali pengukur kepada setiap
individu. Sesungguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya,
peradaban dan agama kita. Namun begitu, dalam mengharungi era ledakan sains
dan teknologi, budaya berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat semakin lenyap dalam
sanubari golongan dewasa dan remaja. Berita tentang remaja bertindak liar di
luar batas-batas kehidupan dengan terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah
seperti gengsterisme, vandalisme dan pornografi sering terpampang di dada
akhbar dan kaca televisyen. Hal ini jelas menunjukkan betapa kroniknya masalah
kelunturan amalan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat. Sebelum keadaan
menjadi lebih parah, budaya berbudi bahasa perlulah dijadikan sebagai amalan
dalam kehidupan seharian kita kerana seribu satu kemaslahatan boleh diperoleh.
Satu daripada kepentingan amalan ini ialah amalan ini
dapat mewujudkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di negara kita.
Masyarakat yang berbudi bahasa akan saling menghormati tidak kira apa-apa jua
warna kulit ataupun status individu tersebut. Bukan itu sahaja, amalan murni
ini akan mendidik masyarakat yang berlainan bangsa dan agama supaya sentiasa
menjaga perasaan antara satu sama lain sama ada melalui tutur bicara atau
perlakuan. Kata orang, “terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku atau kata
buruk padahnya”. Cetusan gagasan
Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul
Razak, Perdana Menteri Malaysia yang keenam merupakan langkah yang bertepatan
dengan suasana dan cita rasa rakyat yang semakin goyah akibat fahaman politik
yang berbeza. Konsep ini membawa aspirasi untuk membaiki hubungan kaum bagi
memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara
asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan
hormat-menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum.
Apabila wujud sikap saling menghormati, masyarakat akan dapat hidup dalam
suasana yang harmoni dan gembira walaupun hidup dengan masyarakat yang berbeza budaya,
adat dan kepercayaan. Dalam pada itu, perselisihan faham antara kaum atau
rusuhan kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969 dapat dielakkan. Ulang tahun
kemerdekaan yang ke-51 iaitu pada tahun 2008 yang bertemakan ‘Perpaduan Teras
Kejayaan’ jelas menunjukkan pentingnya perpaduan kaum dalam negara kita yang
terdiri daripada rencaman bangsa. Pepatah ada menyatakan bahawa bersatu teguh
bercerai roboh justeru apabila masyarakat bersatu, negara dapat berkembang
dengan maju dan anasir-anasir luar tidak dapat menggugat kestabilan negara
dengan mudah. Tegasnya, konsep perpaduan dapat dicapai dengan mudah
sekiranya amalan budi bahasa dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita.
Meninjau dari skop yang lebih luas, amalan berbudi
bahasa dapat melahirkan masyarakat yang lebih bertamadun. Menurut konteks
sejarah, masyarakat yang bertamadun merupakan masyarakat yang memiliki tahap
tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur selain pencapaian lahiriah.
Oleh itu, masyarakat pada masa tersebut dapat membina tamadun dan empayar yang
kuat dan hebat seperti tamadun Mesopotamia, tamadun Mesir, tamadun Hwang Ho dan
tamadun Indus walaupun pada masa itu teknologi masih belum berkembang dengan
sepenuhnya. Untuk membina tamadun yang unggul, kita tidak seharusnya
bersikap biadap dan kasar seperti mengeluarkan kata-kata yang kesat sehingga
memilukan hati pihak lain bagai ditusuk sembilu. Perlakuan seumpama ini
menggambarkan masyarakat tersebut masih berada dalam Zaman Jahiliah di mana
akhlak dan nilai hidup masyarakat pada masa tersebut adalah sangat rendah.
Sekiranya masyarakat kita lebih bertamadun, sudah pasti kita dapat
mempertahankan kemerdekaan. Dalam konteks ini, negara amat memerlukan
masyarakat yang berfikiran matang dan bijak untuk mengelakkan penjajahan semula
oleh kuasa-kuasa asing seperti kuasa Barat. Secara tidak langsung, industri
pelancongan juga turut meningkat. Secara ringkasnya, masyarakat yang
bertamadun dapat dilahirkan melalui amalan budi bahasa.
Selain itu,
masyarakat yang berbudi bahasa akan mempamerkan nilai-nilai yang positif
seperti memberikan layanan yang sopan dan bersikap lemah lembut terhadap
pelancong asing. Hal ini penting agar dapat meninggalkan imej yang positif
tentang negara kita dalam diri pelancong. Pelancong juga akan mempunyai
percutian yang menyeronokkan kerana beranggapan bahawa kedatangan mereka ke
sini dialu-alukan dan dihargai oleh masyarakat tempatan. Dalam pada itu,
pekerja-pekerja dalam Jabatan Kastam dan Imigresen, pemandu pelancong serta pemandu
pengangkutan awam perlulah memainkan peranan yang lebih penting dengan
senantiasa melemparkan senyuman dan bertutur dengan nada yang lembut ketika
berurusan dengan pelancong asing. Negara Jepun sayugia dijadikan teladan kerana
masyarakatnya sememang kaya dengan budi bahasa. Contohnya, ucapan
‘irasshaimase’ yang bermaksud selamat datang dalam bahasa Jepun pasti akan
menusuk ke gegendang telinga tidak kira apa-apa kedai yang dikunjungi. Amalan
berterima kasih juga merupakan sesuatu yang biasa dalam masyarakat Jepun.
Sekiranya amalan ini diikuti, sudah pasti keramahan dan kesantunan rakyat
Malaysia akan sentiasa meniti dari bibir ke bibir para pelancong dan sentiasa
memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama mereka. Senario ini secara
tidak langsung akan menjana ekonomi negara melalui industri pelancongan negara
yang kian mendapat sambutan hangat. Jadi, budaya yang murni ini amat
penting ketika berurusan dengan pelancong asing agar mereka dapat menikmati
percutian di negara kita.
Di samping itu,
pemimpin yang berdedikasi juga dapat dizahirkan. Pemimpin yang baik akan
dapat mentadbir negara dengan lancar kerana mendapat sokongan yang padu
daripada rakyat. Pemimpin yang berbudi bahasa sentiasa menitikberatkan
kepentingan orang lain daripada kepentingan peribadi. Mereka akan bertindak
dengan bijaksana untuk menjaga perasaan pelbagai pihak ibarat menarik rambut
dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak. Sehubungan dengan
itu, golongan remaja merupakan aset yang sangat bernilai kepada negara kerana
mereka adalah generasi pelapis yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara.
Oleh itu, budi bahasa seperti menghormati orang tua, bertutur dengan sopan,
bertolak ansur dan amalan tolong-menolong perlulah dijadikan panduan dalam
kehidupan mereka supaya mereka dapat menjadi seorang pemimpin yang berdedikasi
dan berkarisma dapat dilahirkan. Pemimpin yang berbudi bahasa dapat
meningkatkan imej negara kerana pemimpin pemimpin dari negara lain akan kagum
dan menghormati negara kita. Ironinya, hubungan diplomatik bagi menjamin
kemajuan dan keselamatan negara dapat dijalinkan dengan mudah. Dengan itu,
negara kita akan dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara
lain. Pendek kata, negara kita akan terkenal di persada dunia kerana
memiliki seorang pemimpin yang berwibawa melalui amalan budi bahasa yang
dipamerkan.
Menyedari akan pelbagai kemaslahatan di atas, kita
haruslah mengambil langkah-langkah yang pragmatik dan efektif untuk memastikan
amalan ini dapat dipupuk dalam setiap sanubari rakyat kita. Oleh itu,kita perlu
bertindak mulai dari sekarang kerana perjalanan yang beribu-ribu batu mestilah
bermula dengan langkah yang pertama. Salah satu langkah yang dominan adalah
melalui rombakan sistem pendidikan. Dalam hal ini, kita terpaksa meletakkan
tanggungjawab penting ini kepada pihak pendidikan. Pendidikan merupakan
wahana yang berkesan untuk mentarbiah masyarakat. Melalui pendidikan, kita
diajar, dibimbing dan diasuh untuk menjadi insan yang kamil dan holistik sama
ada dari aspek jasmani, rohani dan intelek. Bukan itu sahaja, pendidikan juga
mampu melahirkan insan yang berhemah tinggi dan berbudi bahasa. Hal ini
juga turut disedari oleh Menteri Pelajaran kita. Oleh sebab itu, beliau telah
mengarahkan agar kurikulum semua mata pelajaran yang sedia ada dirombak semula.
Rombakan ini dapat dilihat melalui penerapan nilai-nilai murni yang berkaitan
dengan amalan budi bahasa dalam mata pelajaran Bahasa Melayu iaitu melalui
cerpen, novel, drama dan puisi yang diajarkan dari peringkat Tingkatan Satu
hingga Tingkatan Lima. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah
menyatakan bahawa kita perlu mencontohi sikap masyarakat Jepun. Walaupun negara
mereka semakin maju, namun, masyarakatnya masih mengekalkan nilai-nilai murni
di samping mengamalkan budaya dan adat resam bangsa mereka. Mereka percaya
bahawa dengan mengenali asal usul bangsa serta keindahan bahasa dan budaya
mereka, mereka dapat melahirkan rakyat yang tinggi semangat cinta akan negaranya.
Semangat inilah yang membawa negara mereka pada kemajuan kerana rakyatnya
sanggup berkorban jiwa dan raga demi negara yang tercinta. Jelaslah bahawa
dalam usaha untuk memupuk amalan budi bahasa, maka tidak boleh tidak, perubahan
dalam sistem pendidikan perlu dilaksanakan.
Jika kita lihat dari sudut yang lain, pihak sekolah
perlu juga melaksanakan aktiviti kokurikulum dengan lebih giat dan berkesan. Kita perlu sedar bahawa aktiviti kokurikulum merupakan wadah yang paling
berkesan dalam membentuk amalan budi bahasa seperti bertanggungjawab,
bekerjasama dan hormat-menghormati dalam diri para pelajar. Para guru pula
dianggap sebagai arkitek pembangunan manusia diarahkan untuk mengadakan
pelbagai program bagi memupuk amalan budi bahasa ini kerana pelajar ibarat
pohon yang baru ditanam. Lantaran itu, mereka perlu dibajai, diairi dan diberi
cahaya matahari yang secukupnya. Sebagai contoh, aktiviti perkhemahan yang
dianjurkan oleh badan-badan beruniform seperti Pengakap dan Kadet Remaja Sekolah
akan membentuk semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan ahlinya. Mereka
akan bersama-sama mendirikan khemah, mematuhi giliran memasak dan sebagainya,
sepanjang perkhemahan diadakan. Selain itu, aktiviti bergotong-royong oleh
persatuan-persatuan dan kelab-kelab sama ada di sekolah, mahupun di kawasan
sekitar sekolah pula akan menanamkan perasaan bertanggungjawab para pelajar
terhadap alam sekitar serta sekolah mereka bak kata pepatah, ‘tak kenal , maka
tak cinta'. Justeru melalui program-program yang dijalankan, para pelajar
akan membentuk jati diri dan sikap positif dalam diri mereka. Mereka akan lebih
bersikap ‘membina’ daripada ’meruntuhkan’ atau membinasakan sesuatu. Mereka
juga akan lebih bertanggungjawab terhadap segala kemudahan yang disediakan
untuk kegunaan ramai. Oleh itu, melalui pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang
lebih berkesan, kita berharap agar tidak ada lagi telefon awam yang dirosakkan,
atau tandas awam yang diconteng dengan kata-kata yang tidak menyenangkan mata
memandang. Sebaliknya, kita akan dapat menyaksikan masyarakat yang lebih
bertolak-ansur, umpamanya, mereka tidak berebut-rebut lagi ketika menaiki bas
awam atau komuter. Anak-anak muda kita juga akan lebih menghormati golongan
yang tua kerana tahap budi bahasa dalam kalangan masyarakat telah meningkat. Pendek kata, amalan budi bahasa sememangnya dapat dipupuk melalui aktiviti
kokurikulum yang dijalankan oleh pihak sekolah.
Justeru peranan ibu bapa juga amat penting
dalam melahirkan insan kerdil yang berbudi bahasa tinggi. 'Bagaimana acuan,
begitulah kuihnya', begitulah peribahasa yang membawa maksud bahawa peribadi
serta perlakuan ibu bapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak mereka. Memang
tidak dapat kita nafikan ibu bapa merupakan guru pertama dalam kehidupan
anak-anak sejak dalam rahim ibu lagi. Hal ini membuktikan bahawa ibu bapa
merupakan ejen pembentukan karakter anak-anak yang paling ampuh untuk
melahirkan insan yang kaya budi bahasa. Oleh itu, sesuatu perkara itu perlu
dipupuk dari kecil oleh ibu bapa kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya agar apabila anak-anak
memasuki alam persekolahan, nilai-nilai asas yang positif seperti
hormat-menghormati, beradab sopan dan bertolak-ansur telah sedia wujud dalam
diri anak-anak mereka. Sebagai contoh, anak-anak yang lebih muda perlu
menghormati kakak atau abang mereka yang lebih tua. Anak-anak juga diajar agar
menghormati harta benda milik adik-beradik mereka serta harta benda bersama.
Dalam hal ini, ibu bapa tidak boleh bersikap seperti ketam yang mengajar
anaknya berjalan betul. Oleh itu, ibu dan bapa perlu sentiasa menunjukkan
bahawa mereka juga saling menghormati sesama mereka agar nilai positif ini
diikuti oleh anak-anak. Dengan ini, hubungan kemesraan keluarga akan dapat
ditingkatkan di samping dapat mewujudkan baiti jannati. Malah yang lebih
penting, anak-anak akan lebih beradab dan berbudi bahasa yang akan mencerminkan
maruah keluarga tersebut. Anak-anak seumpama ini tidak akan bersikap biadab
yang mampu menconteng arang ke muka keluarga sendiri. Sesungguhnya, peranan
ibu bapa yang mempamerkan contoh terbaik kepada anak-anak dapat memupuk amalan
budi bahasa dalam diri anak-anak.
Pilihan kita yang terakhir untuk membentuk masyarakat
yang berbudi bahasa adalah melalui kempen yang berkesan. Hal ini dikatakan
demikian kerana kempen-kempen yang diadakan mampu menyedarkan masyarakat
tentang kepentingan amalan ini dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita.
Masyarakat pada hari hari lebih mudah dipengaruhi dan dikuasai dengan kempen-kempen
yang diadakan. Sembilan tahun lalu iaitu pada 11 Februari 2005 Kementerian
Kebudayaan dan Warisan (KEKWA) melancarkan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni.
Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni sama sekali tidak diwujudkan kalau
masyarakat kita berbudi bahasa selayaknya. Kempen yang dicetuskan oleh Dr. Rais
Yatim semasa memimpin KEKWA ini mengejutkan kita yang terlena dalam mengejar
fatamorgana hidup sehingga sanggup merendahkan tahap budi bahasa kita. Suatu
ketika dahulu , majalah Readers Digest telah menyiarkan hasil kajian kesantunan
di 36 bandar raya di dunia. Hasilnya, Kuala Lumpur menjadi bandar raya kedua
paling biadab. Kajian ini amat membimbangkan dan memalukan kita. Oleh itu,
kempen seumpama ini haruslah diadakan secara berterusan serta giat dan bukannya
sekadar melepaskan batuk di tangga. Dengan ini, diharapkan kempen yang
bersungguh-sungguh ini dapat menyemarakkan dan menyemai semula budi bahasa dan
nilai-nilai murni ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia serta meletakkan budi
pekerti sebagai satu asas dan tunjang dalam kehidupan kita. Secara implisitnya,
negara akan menjadi agung jika warganya terdiri dari insan-insan yang
mengamalkan budaya murni. Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya dari
segi kebendaan tapi muflis dari segi keperibadian. Izharlah bahawa peranan
kempen juga penting untuk membudayakan amalan murni ini dalam kehidupan
seharian kita.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa dapat disimpulkan
bahawa amalan budi bahasa amat mustahak untuk negara mencapai taraf negara maju
yang disegani oleh negara-negara gergasi yang lain di dunia. ‘Yang merah itu
saga, yang kurik itu kendi, yang indah itu bahasa, yang elok itu budi’,
demikianlah ungkapan yang menggambarkan kepentingan berbudi bahasa dalam
kehidupan masyarakat kita. Ungkapan ini disusuli pula dengan bidalan yang
mengatakan bahawa budi bahasa tidak boleh dijual beli. Oleh itu, sifat
sifat luhur dan amalan berbudi bahasa yang dahulunya menjadi kebanggan
masyarakat timur tetapi kian terhakis ini wajarlah dipulihkan dan dihidupkan
semula. Lantaran itu, semua pihak wajarlah bersinergi bagai aur dengan tebing
dan mengelakkan sikap masing-masing perahu, masing-masing kayuh dalam menanam
amalan berbudi bahasa dalam diri setiap individu. Kita tidak seharusnya mengharapkan
sebelah pihak sahaja untuk memupuk
amalan murni ini dalam setiap jiwa rakyat Malaysia kerana bertepuk sebelah
tangan takkan berbunyi. Kempen Budi
Bahasa dan Nilai-nilai Murni perlulah diimplementasikan dari semasa ke semasa
untuk meningkatkan kesedaran rakyat. Profesor DiRaja, Ungku Aziz pernah
berkata, “Malaysia yang aman dan damai akan lenyap dalam sedikit masa jika
rakyatnya tidak bermoral dan nilai budi bahasa yang kian terhakis dari jiwa
mereka”. Jadi, kita mengharapkan agar menjelang tahun 2020, tabiat buruk
seperti kegiatan gengsterisme dan bercakap kasar sudah lupus dari memori setiap
rakyat Malaysia supaya negara akan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah
negara Malaysia terus disegani kerana ketinggian budi bahasa rakyatnya.
No comments:
Post a Comment